Artikel

Mulai 1 September – Aplikasi MyPB Public Bank Hanya Akan Sokong iOS 16 Dan Terkini

Public Bank memaklumkan kepada pengguna peranti iPhone bahawa aplikasi perbankan MyPB kelak hanya akan menyokong peranti dengan sistem pengendalian iOS 16 dan ke atas bermula 1 September 2026.

Selain aplikasi MyPB, aplikasi perniagaan iaitu PB enterprise turut akan laksana tindakan tersebut pada tempoh yang sama.

Langkah ini bermakna akan menamatkan akses bersama pengguna iOS 15 atau versi yang lebih lama, sekali gus memerlukan pengguna mengemaskini sistem pengendalian (OS) peranti mereka dengan segera bagi mengelakkan sebarang gangguan perkhidmatan. Keperluan tersebut juga bertujuan melindungi data serta transaksi kewangan pengguna daripada risiko ancaman siber yang semakin meluas selari dengan komitmen yang digariskan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini.

Maka semua pengguna dinasihatkan untuk menyemak status sistem peranti masing-masing melalui menu tetapan iPhone. Dan bagi pengguna peranti model lama yang tidak lagi menyokong iOS 16, seperti siri iPhone 7 dan ke bawah – anda disarankan untuk beralih kepada peranti yang menyokong sistem iOS lebih terkini. Ini kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan akses kepada aplikasi MyPB menjadi terhad dan menjejaskan urusniaga transaksi pengguna di masa hadapan.