Pasaran modal Malaysia dilihat terus berdaya saing pada 2025 tatkala berdepan ketidaktentuan persekitaran global – prestasi ini meliputi peningkatan saiz pasaran modal kepada RM4.31 trilion berbanding RM4.17 trilion pada 2024.
Perkembangan itu menurut Laporan Tahunan 2025 Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang dikeluarkan hari ini didorong akan penebusan bon kerajaan yang lebih rendah serta terbitan bon korporat yang lebih tinggi iaitu dengan nilai terkumpul RM2.25 trilion. Biarpun pasaran ekuiti memperlihatkan penurunan kecil kepada RM2.06 trilion namun permodalan pasaran FBMKLCI yang meningkat kepada RM1.19 trilion dilihat telah membantu mengimbangi prestasi terbabit.
Malah pasaran Malaysia turut mencatatkan prestasi tawaran awam awal (IPO) yang kukuh pada 2025 bersama penyenaraian 60 IPO berbanding 55 pada 2024. Prestasi segmen ini dijangka terus meningkat, susulan untuk rekod 3 bulan pertama 2026 – Malaysia telahpun meraih sekitar $852.1 juta menerusi penyenaraian 11 IPO.
Untuk lebih memahami lanjut, ini antara perkembangan lain yang turut memacu pertumbuhan pasaran modal Malaysia pada 2025:
- Pasaran Modal Islam (ICM) kekal kukuh, berkembang sebanyak 4.31% untuk mencapai RM2.7 trilion pada tahun 2025
- Aset di bawah pengurusan (AUM) bagi industri pengurusan dana meningkat sebanyak 6.9% kepada paras tertinggi RM1.14 trilion, berdasarkan pulangan yang lebih baik untuk sekuriti pendapatan tetap dan penilaian yang lebih tinggi
- Jumlah dana yang diperoleh melalui pasaran modal melonjak 35.4% kepada RM187.7 bilion
- Jumlah dana yang dikhaskan dalam industri modal teroka dan ekuiti persendirian meningkat sebanyak 21.66% kepada RM30.05 bilion
- Saluran pembiayaan alternatif terus memudahkan pembiayaan kepada PMKS dan MTC, dengan RM5.7 bilion yang diperoleh pada tahun 2025