KK Mart Retail Bhd, pengendali rangkaian kedai serbaguna KK Super Mart dan KK Mart kelihatannya sedang merancang untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia, susulan telah memfailkan draf prospektus kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Isnin lalu.
Pendedahan prospektus tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan makluman lanjut berkenaan harga IPO, jumlah saiz pengumpulan dana, atau jadual waktu penyenaraian. Dan berdasarkan fail draf prospektus tersebut, rancangan IPO ini akan melibatkan tawaran sehingga 840 juta saham dengan penjualan sehingga 630 juta saham sedia ada dan terbitan 210 juta saham baharu.
Menerusi perancangan tersebut, KK Mart memiliki sasaran untuk memanfaatkan pengumpulan dana bagi memperluaskan operasi kedai dan pusat pengedaran, melabur dalam keupayaan digital serta membayar balik komitmen pinjaman kumpulan. Berlandaskan perluasan itu, KK Mart mahu mengembangkan jejak perkhidmatan mereka dengan memasuki pasaran di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Sabah menjelang Jun 2027.
Dengan matlamat sedemikian kumpulan optimis memiliki lebih 1,500 cawangan menjelang Jun 2028 bersama pengukuhan perolehan yang lebih baik di pasaran hadapan.