Setelah lebih 40 tahun menjadi jenama kegemaran di pasaran tempatan, Adabi kini mengorak langkah strategik meneroka pasaran baharu melalui unit perniagaannya, Adabi Frozen Food Sdn Bhd. Langkah ini menyaksikan jenama tersebut memperluas segmen makanan sejuk beku bagi membawa cita rasa asli Malaysia ke peringkat global. Kehadiran Adabi dalam pasaran antarabangsa ini membuktikan komitmen syarikat dalam mempelbagaikan rangkaian produk berkualiti tinggi yang konsisten untuk pengguna merentas generasi.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Adabi Frozen Food mengumumkan penyertaan mereka dalam pameran Food & Hotel Asia (FHA) Singapore 2026 yang merupakan salah satu pameran makanan dan minuman terkemuka di Asia. Acara yang bermula hari ini sehingga 24 April 2026 di Singapore Expo menghimpunkan pemain industri global, pengedar, dan pembeli dari seluruh dunia. Platform ini dianggap sangat strategik bagi memperkukuh kedudukan Adabi dalam pasaran makanan halal global serta memperluas jejak perniagaan antarabangsa mereka.

Sepanjang pameran tersebut, Adabi Frozen Food akan menonjolkan rangkaian produk perintis roti sejuk beku sedia masak yang dirumus khas untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden. Produk yang diketengahkan termasuklah Chapati Sejuk Beku, Roti Canai Sejuk Beku, serta Paratha Sejuk Beku (Asli dan Bawang). Inovasi ini dibangunkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian makanan halal yang mudah dan berkualiti tinggi, khususnya bagi segmen runcit serta sektor hotel, restoran, dan katering (HoReCa).
Penyertaan ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan eksport Adabi sebagai rakan niaga yang dipercayai di pentas dunia. Melalui inisiatif ini, Adabi Frozen Food terus komited menyokong pelanggan melalui rangkaian produk yang direka untuk memenuhi tuntutan operasi masakan masa kini.