Setelah merekod peningkatan yang lebih perlahan – paras inflasi Malaysia kini memperlihatkan kenaikan yang lebih ketara, apabila meningkat 1.7% pada Mac 2026 di bawah pengukuran Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diterbitkan hari ini.
Data Jabatan Perangkaan (DOSM) ini menjelaskan peningkatan itu didorong terutamanya oleh peningkatan segmen Pengangkutan kepada 1.6% daripada -0.7% pada Februari 2026. Keadaan ini antaranya disebabkan kesan konflik semasa yang membawa kepada peningkatan kos bahan api global.
Selain itu, inflasi Malaysia turut disumbangkan oleh kenaikan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (7.0%), Insurans dan Perkhidmatan Kewangan (4.9%), Minuman Alkohol dan Tembakau (2.7%), Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (2.6%), Kesihatan (1.4%), Maklumat & Komunikasi (1.4%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.2%) dan Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (1.0%).
Sementara segmen Pendidikan pula dengan 2.5%, diikuti Makanan dan Minuman (1.1%), Hiasan Perkasasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (0.1%) pula memperlihatkan kenaikan inflasi yang lebih sederhana.
Taburan inflasi mengikut negeri pula, memperlihatkan 8 negeri alami kenaikan paras inflasi melebihi paras nasional (1.7%) dengan PahangĀ (2.5%), Wilayah Persekutuan Labuan (2.4%), Negeri Sembilan (2.2%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.2%), Sabah (2.1%), Johor (2.0%), Kedah (1.9%) dan Pulau Pinang (1.8%). Manakala, baki lapan negeri meningkat di bawah dan sama dengan kadar inflasi nasional dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah (0.7%) pada Mac 2026.

Dengan rekod sedemikian, situasi ini turut meningkatkan lagi tekanan kos pada pasaran semasa dengan kedudukan konflik yang masih berterusan. Sebagai perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia pada Mac 2026 (1.7%) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (4.7%), Filipina (4.1%), Indonesia (3.5%), dan Korea (2.2%). Walau bagaimanapun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (1.0%) dan Thailand (-0.1%).