Artikel

Shopee, KPKM Sasar Bantu 200 Peniaga Tani Perluas Capaian Pasaran – Melalui E-Dagang

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Shopee, hari ini melancarkan program KPKM Dunia Agro+, sebuah inisiatif baharu yang bertujuan membantu usahawan asas tani membina keupayaan perniagaan digital dan meluaskan capaian pasaran mereka melalui e-dagang.

Buat pengetahuan umum, inisiatif ini bermatlamat memperkasakan 200 usahawan tani merentasi kategori makanan, minuman, snek dan produk segar dengan kemahiran digital dan literasi kewangan – bagi mengembangkan capaian perniagaan mereka di pasaran lain serta akses ke pasaran digital.

Maka Shopee menerusi ShopeeRaiLokal akan memanfaatkan ekosistem mereka bersama kepakaran dalam membantu peniaga tani baharu dalam arena perdagangan digital. Ini merangkumi latihan melalui Shopee University dan bimbingan penggunaan peranti bagi tindakan penstriman langsung. Lebih menarik pakej sokongan penjual bernilai RM320,000 turut disediakan bagi kumpulan peserta inisiatif dalam membantu peniaga memahami pendekatan jualan yang lebih strategik dan kehendak pengguna di pasaran semasa.