Artikel

KKM Akan Perkenal Format Preskripsi Baharu, Lebih Terperinci – Mulai 1 Januari 2027

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pihaknya akan memperkenalkan format preskripsi ubat-ubatan baharu yang lebih terperinci bagi meningkatkan tahap keselamatan pesakit di seluruh Malaysia. 

Langkah ini menurut notis KKM pada makluman pekeliling baharu, adalah diambil setelah penelitian pihak kementerian mendapati format sedia ada mempunyai beberapa kekurangan, terutamanya dalam merekodkan status alahan ubat yang sangat kritikal bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang tidak diingini.

Format baharu ini memerlukan maklumat lengkap yang lebih mendalam berbanding format lama yang sebelum ini hanya merekodkan butiran asas seperti nama, nombor MyKad, dan jenis penyakit. Melalui format dikemas kini ini, butiran tambahan seperti berat badan pesakit, jantina, diagnosis, status kewarganegaraan, serta spesifikasi ubat yang merangkumi bentuk dos, kekerapan, dan tempoh pengambilan ubat diperincikan perlu dicatatkan dengan jelas oleh doktor bertugas.

Pelaksanaan ini juga bertujuan untuk memastikan pematuhan undang-undang yang lebih ketat di bawah Akta Racun 1952 serta peraturan berkaitan dadah berbahaya dan bahan psikotropik. Format ini juga dijelaskan tidak hanya terpakai kepada preskripsi yang ditulis secara manual, malah merangkumi semua fasiliti kesihatan yang menggunakan sistem digital bagi memastikan rekod perubatan lebih selaras.

Pekeliling ini dijadualkan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2027. Namun, fasiliti kesihatan dibenarkan untuk mula menggunakan format baharu lebih awal sekiranya stok slip preskripsi lama telah habis digunakan, manakala baki stok sedia ada masih boleh diteruskan penggunaannya selepas tarikh kuat kuasa bagi mengelakkan pembaziran sementara menunggu proses perolehan baharu selesai.