Artikel

Isu Tekanan Kos – inDrive Turunkan Komisen Ke 1% Buat Pemandu KL, Sehingga 31 Mei Ini

inDrive secara rasminya melancarkan inisiatif komisen serendah 1% untuk semua pemandu seru-pandu di Kuala Lumpur (KL) bermula hari ini sehingga 31 Mei 2026. Melalui langkah ini, pemandu berpeluang membawa pulang 99% daripada setiap tambang yang diperoleh sepanjang tempoh kempen. Inisiatif ini diperkenalkan sebagai sokongan kepada pekerja gig yang kini terbeban dengan kenaikan kos operasi seperti harga bahan api, insurans, dan penyelenggaraan kenderaan yang semakin meningkat.

Menurut notis inDrive, langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen mereka untuk mewujudkan ekosistem ekonomi gig yang lebih adil dan mampan di Malaysia. Selain kadar komisen yang sangat rendah, inDrive mengekalkan model unik peer-to-peer di mana pemandu dan penumpang boleh berbincang dan bersetuju dengan harga tambang secara bersama. Model ini memberikan ketelusan dan kawalan yang lebih besar kepada kedua-dua pihak berbanding sistem harga yang ditentukan sepenuhnya oleh algoritma.

Bagi individu yang berminat atau pemandu sedia ada yang ingin menikmati manfaat ini, mereka hanya perlu memuat turun aplikasi inDrive untuk bermula. Sebagai platform mobiliti global yang telah dimuat turun lebih 400 juta kali, inDrive kini beroperasi di 48 buah negara dan terus berusaha mencabar ketidakadilan dalam pasaran melalui model harga yang lebih telus dan berpihak kepada komuniti tempatan.