Artikel

AEON360, Google Cloud Bekerjasama Pacu Pengalaman Berbelanja Pengguna – Menerusi AI

Bertepatan dengan konsep entiti untuk menyelaraskan ekosistem keahlian, data merentasi semua perniagaan. AEON360 kini mengukuhkan objektif kumpulan menerusi sokongan Google Cloud – membangunkan ekosistem berpacukan Kecerdasan Buatan (AI) di seluruh Asia Tenggara.

Langkah ini menyatukan data daripada sektor peruncitan, kewangan, dan gaya hidup di bawah satu entiti yang bersepadu dan pintar.

Kesepakatan itu akan memperlihatkan pembinaan asas data bersepadu menggunakan platform BigQuery bagi memahami konteks dan pilihan unik setiap pelanggan. Sebagai contoh, pelanggan yang mencari barangan dapur di Kuala Lumpur akan menerima cadangan produk khusus, harga ahli, serta maklumat stok di cawangan terdekat tanpa perlu menetapkan semula identiti mereka di platform berbeza. Sistem ini juga akan mengintegrasikan pilihan pembiayaan seperti pelan ansuran atau mata ganjaran secara automatik semasa proses pembayaran.

Tidak hanya memudahkan pengguna, sebuah hab inovasi AEON360 turut akan dibangunkan di KL untuk meningkatkan kemahiran AI dalam kalangan pekerja AEON. Pusat ini akan menggunakan teknologi Gemini Enterprise untuk membangunkan ejen AI yang mampu membantu pelanggan membina troli belian secara autonomi melalui teks, suara, atau imej. Selain itu, ejen khidmat pelanggan digital akan disediakan bagi menyelesaikan pertanyaan 24 jam sehari dengan panduan yang lebih tepat.

AEON360 turut merancang untuk memperluas jangkauan digitalnya melalui penggunaan Universal Commerce Protocol (UCP) yang membolehkan ejen AI beroperasi merentasi pelbagai platform. Di masa hadapan, pengguna berpotensi untuk berinteraksi terus dengan AEON melalui Google Search untuk mendapatkan maklumat produk atau diskaun eksklusif. Lebih menarik integrasi dengan Google Pay juga sedang diterokai bagi memastikan setiap transaksi yang dikendalikan oleh ejen AI dapat dilakukan dengan selamat dan pantas.