CIMB Group memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) strategik selama tiga tahun bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi inisiatif Moving KL Forward – Kita Bagi Jadi bersama DBKL x CIMB. Kerjasama yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta ini berpaksikan matlamat CIMB untuk memajukan pemain ekonomi dan masyarakat setempat.

Melalui kolaborasi ini, pelbagai program akan dilaksanakan bagi merangsang aktiviti ekonomi, memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan, aktiviti hiburan, kebudayaan, pelaburan, pelancongan serta membina daya tahan komuniti yang lebih mampan di ibu kota.
Inisiatif ini turut memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkasakan komuniti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS/PKS) serta penggiat industri kreatif. Sepanjang tempoh tiga tahun tersebut, platform-platform khas akan disediakan bagi memastikan golongan ini mendapat sokongan yang diperlukan untuk berkembang. Langkah ini dijangka dapat menyuntik nafas baharu kepada landskap sosioekonomi KL, sekali gus memastikan pembangunan bandar raya ini bersifat inklusif bagi semua lapisan masyarakat.
Majlis menandatangani MoC ini disempurnakan oleh Datuk Seri TPr Haji Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, bersama Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group dan disaksikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi CIMB Group. Komitmen bersama ini menjadi bukti kesungguhan kedua-dua pihak dalam merealisasikan visi Kuala Lumpur yang lebih progresif dan dinamik.