Kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel negara daripada B10 kepada B15 secara berperingkat, bermula dengan pengenalan B12. Langkah strategik ini diambil susulan ketidaktentuan krisis di Asia Barat bagi memastikan ketersediaan bekalan diesel domestik untuk tempoh yang lebih lama. Paling penting, peralihan ini dilaksanakan menggunakan infrastruktur sedia ada, sekali gus tidak melibatkan sebarang kos tambahan kepada kerajaan mahupun pengguna.
Kementerian Ekonomi menjelaskan langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan tinggi Malaysia terhadap import bahan api fosil dan pasaran luar. Dengan beralih kepada Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang dihasilkan secara domestik, negara dapat membina daya tahan ekonomi jangka panjang. Memandangkan pemulihan krisis tenaga global dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan, penstabilan bekalan dan harga melalui sumber tempatan menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.
Fakta industri menunjukkan Malaysia sangat bersedia untuk perubahan ini susulan tahun 2025 menunjukkan rekod pengeluaran biodiesel negara mencatatkan hampir 1 juta tan metrik, sedangkan kapasiti sebenar kilang di Malaysia mampu mencecah sehingga 2.36 juta tan metrik.
Kesiapsiagaan infrastruktur ini turut disahkan melalui lawatan kerja ke Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT), yang membuktikan kemudahan pengadunan dan logistik syarikat minyak utama sudah berada pada tahap optimum untuk menyokong mandat baharu ini.
Sebagai perancangan masa depan, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 akan terus menaik taraf depoh simpanan bagi persediaan mandat B20 dan B30 untuk sektor komersial serta awam. Buat pengetahuan umum penggunaan biodiesel bukan sahaja melambatkan kadar penyusutan stok diesel negara, malah menjadi alternatif paling praktikal yang boleh digerakkan segera.