Artikel

Airwallex Perluas Skala Khidmat Kewangan Di Malaysia – Antaranya Transaksi Rentas Sempadan, Kad Korporat

Seiring dengan peningkatan eksport digital Malaysia yang mencecah RM2.6 bilion dalam tempoh separuh pertama 2025 sahaja, bersama 350 syarikat berkembang ke 39 pasaran di seluruh dunia – Airwallex kini meluaskan lagi arena kewangan negara apabila meraih kelulusan menyediakan struktur kewangan menyeluruh buat kumpulan perniagaan di Malaysia. Akses ini membolehkan perniagaan untuk beroperasi dengan lebih cekap dan bersaing dengan yakin di pentas global.

Antaranya membolehkan perniagaan Malaysia menerima, menyimpan dan menguruskan dana melalui dompet berbilang mata wang. Malah tindakan penukaran mata wang turut boleh dilaksanakan bersama Airwallex dengan kadar pertukaran asing yang lebih berdaya saing. Disusuli pemindahan rentas sempadan yang lebih cekap serta keupayaan memiliki kad korporat untuk kemudahan perbelanjaan operasi.

Bersama akses sedemikian, Airwallex menjangkakan perniagaan di Malaysia boleh menjimatkan kira-kira RM100 bagi setiap transaksi antarabangsa melalui pengurangan kos pertukaran wang asing dan pemindahan, di samping mempercepatkan kemasukan pasaran sebanyak 2–3 kali ganda melalui keupayaan membuka akaun tempatan dan mula bertransaksi dalam beberapa hari, bukan beberapa bulan. Lebih menarik Airwallex turut meraih sokongan Visa, rangkaian pembayaran global sekali gus mengukuhkan lagi tindakan pemantauan aliran tunai rentas sempadan di pasaran semasa.