Artikel

Ryt Bank Kini Miliki 1.2 Juta Pengguna – Sasar Perluas Akses Antaranya Ryt Invest

Ryt Bank secara rasminya telah melepasi angka 1.2 juta pengguna dalam tempoh hanya 7 bulan sejak pelancarannya pada Ogos 2025, sekali gus mencatatkan kedudukan sebagai salah sebuah bank digital yang pesat berkembang di pasaran Malaysia.

Pertumbuhan luar biasa ini antaranya dipacu oleh sokongan Ryt AI, sebuah model kecerdasan buatan yang dibangunkan bersama YTL AI Labs, yang kini menguruskan satu daripada setiap lima pembayaran bil serta mendorong peningkatan volum transaksi sebanyak 35 kali ganda sejak pelancarannya.

Lebih menarik hampir 50% daripada pengguna Ryt bank ini aktif menggunakan akses Ryt AI tersebut untuk memudahkan perbelanjaan harian, dengan kadar penggunaan yang tinggi termasuk dalam kalangan pengguna berusia 50 tahun ke atas.

Selain perbankan harian, platform ini juga berjaya mendekati segmen masyarakat yang kurang mendapat liputan perkhidmatan kewangan melalui akses yang fleksibel seperti Ryt PayLater untuk keperluan asas. Dan bergerak ke hadapan, Ryt Bank tidak lama lagi turut akan perluaskan akses pelaburan bersama pengguna menerusi ciri Ryt Invest, yang dijangka akan diumumkan dalam beberapa minggu mendatang.

Berlandaskan perkembangan itu, semua pihak perlu memahami Ryt Bank adalah antara 3 bank digital di Malaysia tertakluk di bawah lesen Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) – yang bermakna ia berperanan selaku bank konvesional. Ini jelas memaparkan status Ryt Bank bukanlah di bawah patuh-syariah. Maka segala penawaran yang disertakan adalah tidak mematuhi piawaian syariah.