Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti pelaksanaan dasar fleksibel bagi menggalakkan syarikat penyedia khidmat seru-pandu untuk meluaskan konsep khidmat kongsi kereta bersama pengguna negara. Pendekatan ini akan membolehkan penumpang berkongsi perjalanan dengan lebih cekap pada kadar tambang yang lebih berpatutan, sambil mengekalkan keseimbangan antara keperluan industri dan kebajikan pengguna.
Saranan itu jelas MOT adalah suatu tindakan yang wajar diutamakan, susulan segala perkhidmatan perlu disesuaikan mengikut dasar dan peraturan pasaran semasa. Dengan isu konflik yang berlaku – perkara ini perlu disegerakan untuk melindungi hak pengguna dan tahap keselamatan semua pihak.
Usul itu dijelaskan bukan tindakan baharu susulan beberapa penyedia seru-pandu telahpun melaksanakan pembuktian konsep bagi perkhidmatan kongsi kereta.
Tidak hanya pengangkutan darat, sektor penerbangan turut terkesan yang memaksa syarikat penerbangan mengubah laluan bagi mengelakkan ruang udara zon konflik. Perubahan ini bukan sahaja meningkatkan masa perjalanan ke destinasi seperti Eropah, malah membawa implikasi kos operasi yang besar serta mengakibatkan kerugian susulan pembatalan jadual penerbangan pada peringkat awal krisis.
Bagi sektor maritim pula, ketegangan di laluan strategik seperti Selat Hormuz dan Terusan Suez memaksa kapal komersial menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh. Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) terus memantau situasi ini secara komprehensif bagi memastikan keselamatan rantaian bekalan dan kestabilan ekonomi negara kekal terpelihara daripada impak krisis tenaga global.