Grab pada sidang Grab X 2026 hari ini secara rasminya berkongsikan akan laksana perluasan produk pinjaman tunai, Cash Loan buat pengguna harian Malaysia menjelang pertengahan 2026 ini.
Sebelum ini kemudahan kewangan tersebut hanya ditawarkan kepada rakan pemandu dan rakan niaga namun kini Grab mengambil langkah baharu untuk merapatkan jurang kredit bersama pengguna di Malaysia dalam meraih akses pinjaman yang lebih mudah.

Inisiatif ini dijelaskan tertumpu kepada golongan yang tidak mempunyai kad kredit atau sejarah kredit yang kukuh, terutamanya mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal. Tanpa dokumen kewangan yang lengkap, golongan ini sering terdedah kepada risiko pinjaman tidak berlesen. Melalui Cash Loan, Grab menawarkan alternatif yang lebih selamat dan telus untuk membantu pengguna menguruskan kecemasan atau keperluan aliran tunai harian mereka.
Berbeza dengan sistem perbankan sedia ada, sistem penilaian Grab adalah lebih holistik kerana ia tidak hanya bergantung kepada baki akaun bank. Sebaliknya, Grab turut menilai aktiviti pengguna di dalam aplikasi, seperti kekerapan penggunaan pengangkutan, purata nilai pesanan di GrabFood, dan tempoh kesetiaan pengguna untuk menentukan kelayakan pinjaman yang bersesuaian.
Mengikut penjelasan Grab, hanya pengguna yang telah melepasi saringan pra kelayakan pinjaman sahaja akan dapat melihat akses Cash Loan pada aplikasi mereka. Maka setelah itu, kumpulan tersebut layak memohon pinjaman sebagaimana yang ditawarkan mengikut tahap kesesuaian kewangan pengguna. Secara menyeluruh selain Malaysia, pasaran Thailand turut dijangka meraih akses ini pada tempoh yang sama tatkala Filipina telahpun menerima ciri tersebut sejak tahun lalu.