BioSeaga Industries, firma tenaga boleh baharu dari Brunei kini telah melantik Oiltek International Ltd sebagai rakan kongsi eksklusif bagi merealisasikan matlamat membina rantaian biopenapisan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) di Sabah.
Projek melibatkan pelaburan bernilai AS$350 juta ini akan memperlihatkan peranan firma Singapura ini ke atas pengendalian sepenuhnya terhadap aspek kejuruteraan, pembinaan, dan pentauliahan kilang tersebut.
Kilang ini direka khusus untuk memproses sisa industri sawit, terutamanya sisa kilang sawit (POME) dan minyak masak terpakai (UCO), untuk ditukarkan menjadi bahan api pesawat. Dengan kapasiti pengeluaran dijangka mencecah 300 tan metrik sehari, inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan sisa industri, malah menyokong usaha penyahkarbonan sektor penerbangan yang kini sedang beralih kepada bahan api yang lebih mesra alam.
Dengan kepakaran teknikal anak syarikat Oiltek di Malaysia usaha itu dilihat berupaya meletakkan Sabah sebagai antara hab utama pengeluaran bahan api biopenapisan di rantau Asia Tenggara.
Fasa pertama pembangunan kilang ini dijangka bermula pada suku keempat tahun 2026. Adanya pelaburan strategik ini ia tidak sekadar mengukuhkan profil ekonomi Sabah dalam sektor tenaga boleh baharu, malah dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta merancakkan lagi rantaian bekalan logistik dan teknologi hijau di Malaysia.