Artikel

Sunway Gagal Ambil Alih IJM Corp – Saham Undian Tidak Lepasi 50%

Langkah mega Sunway Berhad untuk mengambil alih IJM Corporation bernilai RM11 bilion secara rasminya menemui jalan buntu. Apabila gergasi hartanah tersebut dilaporkan sekadar memperoleh 33.43% pegangan undian —angka yang jauh daripada syarat ambang 50% yang diperlukan untuk memuktamadkan peralihan kuasa tersebut.

Tawaran yang dikemukakan pada Januari lalu itu melibatkan struktur pembayaran 10% tunai dan 90% melalui terbitan saham baharu Sunway. Namun, keputusan akhir menunjukkan para pemegang saham IJM nampaknya lebih yakin dengan nilai sebenar dan hala tuju syarikat mereka sendiri berbanding tawaran gabungan tersebut.

Meskipun tidak mencapai sasaran, pengurusan Sunway menyatakan rasa hormat terhadap keputusan pemegang saham IJM. Mereka menyifatkan cadangan asal tersebut sebagai satu langkah strategik untuk membina entiti nasional yang lebih berdaya tahan. Bergerak ke hadapan, Sunway akan terus fokus kepada pengukuhan portfolio antaranya memberi tumpuan kepada Sunway Healthcare yang baru disenaraikan dengan penilaian mencecah RM16 bilion.

Bagi IJM pula, kegagalan bidaan ini memberi ruang untuk mereka mempercepatkan pelan strategik bagi meningkatkan nilai pemegang saham, termasuk potensi penyenaraian bahagian pembinaan dan penjualan aset lebuh raya bertol.