Artikel

Kos Logistik, Premium Insurans Turut Lonjakkan Harga Minyak – PETRONAS

Apabila harga minyak dunia melonjak, pastinya ramai pihak beranggapan kedudukan ini didorong akan persaingan permintaan bekalannya – yang mengakibatkan kos menjadi lebih tinggi. Tidak salah namun realitinya kenaikan kos ini tidak sekadar berpaksi kepada status jumlah bekalan minyak semata tetapi kenaikan kos lain turut menjadi punca iaitu logistik dan premium insurans. 

Jelas PETRONAS pada laporan sesi Bicara Naratif Khas bersama RTM minggu lalu – kenaikan harga minyak ini bermula akhir Februari dilihat telah dipacu akan kenaikan kos pengangkutan antara 47% hingga 176% manakala premium insurans pula meningkat sehingga 337%. Sedangkan harga minyak mentah pula naik 40% pada tempoh tersebut.

Secara asasnya apabila kos bahan api ini meningkat, ia memberi kesan kepada kos operasi pengangkutan sama ada lori, kapal kargo mahupun pesawat. Dan kesan penutupan Selat Hormuz telah menyebabkan tempoh perjalanan menjadi lebih lama dan meningkatkan kadar penggunaan bahan api serta kos penyelenggaraan. Selain daripada itu, tekanan aliran perdagangan sedemikian turut memberi kesan kepada keperluan kontena yang menyebabkan harga sewa kontena meningkat secara berkala disusuli kekangan tenaga kerja dalam mengendalikan situasi berkenaan turut melibatkan kos yang lebih tinggi.

Manakala premium insurans pula meningkat adalah disebabkan lonjakan risiko yang berlaku. Melalui zon konflik menjadikan tahap risiko pemilik kapal lebih tinggi dan keadaan ini memberi tekanan kepada harga minyak global.

Secara menyeluruh Malaysia masih lagi optimis akan keupayaan menampung tekanan kos dengan kekal memberi BUDI95 kepada penduduk negara pada kadar RM1.99 seliter RON95. Namun langkah mitigasi telahpun dimulakan untuk persediaan selepas Mei kelak, dengan meraih sumber bekalan alternatif daripada negara tertentu bagi memastikan keperluan tenaga domestik kekal dipenuhi pada pasaran hadapan.