Pengendali BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy iaitu Big Caring Group kini dilihat dalam tindakan melaksanakan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) di pasaran utama Bursa Malaysia.
Kumpulan yang disokong firma ekuiti swasta Creador ini telah mengemukakan draf prospektus kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada minggu ini. Tindakan penyenaraian itu tidak hanya merangka semula strategi hala tuju peneraju farmasi ini tetapi turut membantu mengurangkan beban hutang hasil peralihan segmen kumpulan sebelum ini.
Buat pengetahuan umum Big Caring Group setakat akhir Januari 2026 memiliki jumlah pinjaman sekitar RM1.3 bilion dengan purata kos faedah sekitar 5.2% setahun.
Sebahagian besar hutang ini adalah pinjaman berjangka sebanyak RM831.3 juta, yang digunakan terutamanya bagi pengambilalihan Caring Pharmacy Group Sdn Bhd bernilai RM888.33 juta dan pembelian 89.3% kepentingan dalam Medispec (M) Sdn Bhd, sebuah pengedar farmaseutikal, bernilai RM249.4 juta. Kumpulan itu juga membelanjakan RM32.8 juta untuk 57.1% kepentingan dalam rangkaian fisioterapi, Your Physio Sdn Bhd.
Syarikat tersebut menyatakan bahawa pengurangan kemudahan kredit pusingan dan pinjaman berjangka ini dijangka menjana penjimatan faedah yang besar serta memperkukuh kunci kira-kira untuk pertumbuhan masa hadapan.
Melalui langkah IPO ini, Big Caring Group bukan sahaja mampu mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan mengurangkan beban faedah, malah bersedia memacu fasa pertumbuhan seterusnya. Kumpulan menyasarkan pembukaan antara 40 hingga 50 cawangan baharu setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang, sekali gus memperkukuh penguasaan pasaran sedia ada yang kini merangkumi 626 cawangan di seluruh negara.