Artikel

Rumah Kekal Jadi Keutamaan – Trend Pemilikan Kediaman Di Malaysia Sasar Naik Menjelang 2028

Kajian Sentimen Pengguna S1 2026 oleh PropertyGuru dan iProperty menunjukkan bahawa keinginan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri tetap tinggi, dengan 56% merancang untuk membeli hartanah dalam tempoh 2 tahun akan datang.

Pemilikan rumah dilihat bukan sekadar aset kewangan, malah sebagai simbol kestabilan dan keselamatan keluarga. Trend ini paling ketara dalam kalangan individu berusia 40 tahun ke atas serta mereka yang sudah berkeluarga, di mana rumah tersebut diwariskan kepada generasi seterusnya.

Selain faktor pemilikan, corak kehidupan rakyat Malaysia yang gemar tinggal bersama keluarga pelbagai generasi telah mempengaruhi kriteria pemilihan rumah. Kini, pembeli lebih mengutamakan kediaman yang mempunyai ruang fleksibel, lokasi yang strategik, serta ciri keselamatan yang tinggi. Bagi golongan muda yang belum memiliki hartanah, mempunyai rumah pertama tetap dianggap sebagai antara pencapaian paling bermakna dalam hidup mereka.

Satu perubahan besar juga turut dikesan pada tinjauan yang mana terdapatnya peningkatan kesedaran terhadap isu alam sekitar. Kini, 9 daripada 10 rakyat Malaysia sanggup membayar lebih untuk rumah yang dilengkapi ciri kelestarian seperti panel solar dan peralatan cekap tenaga. Selain itu, risiko bencana seperti banjir dan tanah runtuh juga menjadi pertimbangan utama sebelum pengguna bertindak membeli hartanah. Sikap sedemikian menunjukkan pembeli masa kini lebih bermaklumat dan mementingkan kelestarian jangka panjang.