Seperti yang dimaklumkan, bermula 15 April ini penjawat di Malaysia dibolehkan untuk laksana dasar bekerja dari rumah (BDR). Berlandaskan keputusan itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) kini memperincikan penjawat awam boleh bertugas BDR untuk 3 hari seminggu.
Akses ini dibenarkan ke atas penjawat awam di semua ibu negeri dan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor. Dan kumpulan ini perlu memenuhi kriteria iaitu jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8 kilometer.
Akses 3 hari seminggu BDR ini untuk makluman melibatkan hari Selasa sehingga Khamis. Ini bermakna hari Isnin dan Jumaat, para penjawat awam perlu hadir ke pejabat. Makluman ini terpakai untuk penjawat awam di negeri yang hari kelepasan mingguannya Ahad.
Sementara bagi negeri hari kelepasan mingguan pada Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, BDR adalah secara sepenuh hari pada Isnin hingga Rabu.
Dan untuk memastikan semua penjawat awam terlibat mematuhi masa bertugas – lokasi bekerja perlu didaftarkan ke dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS). Selain itu penjawat awam juga perlu menggunakan Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah. Di damping perlu mendaftar masuk dalam sistem SPOT-Me ini setiap 1 jam untuk makluman ketersediaan bertugas.
Menerusi tindakan ini ia sekali gus dapat membantu semua penjawat awam meraih penjimatan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan awam di Malaysia. Namun akses ini dijelaskan tidak tersedia kepada sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

