Artikel

Pahang Benarkan Penjawat Awam Negeri Bekerja Dari Rumah, 2 Hari Seminggu

Memahami cabaran kos sara hidup semakin meningkat, Kerajaan Negeri Pahang kini mengambil keputusan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) selama 2 hari seminggu secara bergiliran buat kakitangan awam negeri – berkuat kuasa minggu hadapan.

Keputusan yang dikongsikan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy pada hari ini dibuat sebagai langkah prihatin Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang terpaksa ditanggung, termasuk kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta keperluan pengurusan keluarga.

Oleh itu, semua ketua-ketua jabatan dan agensi disarankan menyelaras pelaksanaan tersebut berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing. Pada masa yang sama, penjawat awam negeri diharapkan dapat terus mengekalkan disiplin, integriti dan produktiviti yang tinggi sepanjang pelaksanaan dasar ini.

Pada masa yang sama, sektor swasta digalakkan untuk mempertimbangkan pendekatan kerja yang lebih fleksibel, termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah sekiranya bersesuaian dengan operasi dan keperluan organisasi masing-masing.

Kerajaan Negeri percaya langkah ini mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang bekerja, di samping mewujudkan suasana kerja yang lebih seimbang, produktif dan responsif terhadap cabaran semasa.