Bila menyentuh soal kos sara hidup, pastinya akan wujud perdebatan tentang realiti status ekonomi dengan angka inflasi rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Yang mana statistik semasa menunjukkan kadar inflasi di Malaysia telah menurun ke paras terendah dalam tempoh 5 tahun, dengan purata hanya 1.4% pada tahun 2025. Walaupun angka ini kelihatan positif di atas kertas, realitinya situasi yang dialami sebahagian besar isi rumah di Malaysia adalah sebaliknya. Jadi mengapa wujudnya jurang sedemikian? Ini beberapa input yang digariskan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk pemahaman penduduk negara~
Kuasa Beli Bukan Sekadar Harga Barangan Yang Stabil
Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan tahap kuasa beli isi rumah di Malaysia tidak hanya tertakluk kepada kestabilan harga barangan semata – tetapi ia turut dipengaruhi akan tahap pendapatan penduduk negara.
Berlandaskan data Laporan Tahunan 2025 yang dipaparkan hari ini, walaupun inflasi keseluruhan 2025 mencatatkan purata rendah sebanyak 1.4%, masih ramai rakyat Malaysia kekal berasa terbeban kerana pengalaman harian mereka terhadap kos sara hidup semasa yang seringkali berbeza dengan angka statistik rasmi. Tetapi masih ramai yang alpa, untuk mengekalkan kuasa beli, pertumbuhan gaji juga mesti meningkat selari atau melebihi kadar kenaikan harga barang supaya pengguna dapat merancang perbelanjaan yang lebih yakin.
Jurang Ketara Upah Dan Inflasi Terus Meluas
Dan berdasarkan tinjauan data BNM, menunjukkan wujudnya jurang yang ketara antara kenaikan upah dan harga barang sejak sebelum pandemik COVID-19 lagi. Dari tahun 2019 hingga 2024, Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan telah melonjak sebanyak 9.3%, manakala upah nominal pekerja hanya meningkat sebanyak 7.2% bagi tempoh yang sama.
Upah Nominal merujuk kepada glosari BNM jumlah wang tunai yang diterima pekerja secara mutlak tanpa mengambil kira kesan inflasi atau kenaikan harga barangan. Ini bermakna jika tahun 2009 gaji pengguna sekitar RM3,000 maka dengan kadar kenaikan 7.2% upah nominal maka gaji pengguna adalah RM3,216 pada 2024.
Ketidakseimbangan ini bermakna pekerja terpaksa bekerja untuk tempoh lebih lama semata-mata untuk memiliki kemampuan membeli jumlah barangan yang sama seperti beberapa tahun lalu.

Lebih membimbangkan, situasi ini memberikan kesan yang lebih mendalam kepada kategori makanan harian, di mana harganya meningkat jauh lebih pantas berbanding pertumbuhan gaji. Data mendedahkan bahawa isi rumah dalam kumpulan B80 kini perlu bekerja tambahan selama 4 jam sebulan pada tahun 2024 berbanding tahun 2019 untuk menampung perbelanjaan makanan bulanan mereka.
Sebagai perbandingan, kumpulan T20 hanya mencatatkan peningkatan keperluan bekerja sebanyak 2 jam tambahan bagi tujuan yang sama, sekali gus menunjukkan bebanan yang tidak rata antara kelas pendapatan.
Inflasi Mengukur Tahap Kenaikan Harga, Bukan Melaraskan Harga
Masih ramai yang keliru dengan beranggapan inflasi menentukan tahap sesebuah harga barangan sedangkan inflasi secara amnya mengukur kepantasan kenaikan harga yang berlaku di pasaran dan bukannya betapa tinggiya tahap harga tersebut dilaraskan. Kebanyakan pihak membandingkan harga pada hari ini dengan harga dahulu, kadangkala dari beberapa tahun lalu.
Apabila perbelanjaan harian dirasakan tinggi, masyarakat berharap supaya harga dapat kembali ke tahap biasa sebelumnya. Tahap harga lampau ini menjadi rujukan bagi isi rumah untuk menilai sama ada kuasa beli mereka bertambah baik atau semakin lemah. Namun demikian, penurunan harga ke tahap sebelumnya bermaksud berlakunya deflasi.
Meskipun deflasi kelihatan menarik pada awalnya, terutamanya apabila kos sara hidup dirasakan tinggi, deflasi boleh menimbulkan masalah yang lebih rumit dalam ekonomi. Sekiranya masyarakat mengharapkan penurunan harga yang berterusan, mereka mungkin menangguhkan perbelanjaan dengan harapan memperoleh harga yang lebih rendah pada masa hadapan. Penangguhan perbelanjaan secara meluas akan melemahkan permintaan, mengurangkan pendapatan perniagaan dan seterusnya menyebabkan kehilangan pekerjaan serta penangguhan pelaburan, yang akhirnya akan mencetuskan kitaran aktiviti ekonomi yang lebih lemah.
Bagi menangani isu ini, langkah jangka pendek seperti semakan gaji minimum kepada RM1,700 pada tahun 2025 telah membantu meringankan beban lebih lima juta pekerja. Namun, untuk jangka masa panjang, BNM menekankan keperluan pembaharuan struktur yang lebih mendalam bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji lebih baik perlu diperkasakan. Tanpa usaha meningkatkan produktiviti dan pendapatan secara konsisten, pertumbuhan gaji akan terus ketinggalan di belakang arus kenaikan harga, sekali gus menjejaskan taraf hidup masyarakat untuk tempoh yang lama.