Artikel

Luno Kini Tawar 51 Kriptowang Di Malaysia – Antaranya Menambah Sonic, ENS Dan Celestia

Sekiranya tahun 2025 memperlihatkan Luno menawarkan sekitar 22 kriptowang di pasaran Malaysia – tahun 2026 memperlihatkan bursa aset digital ini melaksanakan tindakan agresif dengan menambah 29 kriptowang baharu pada penawaran platform mereka untuk pengguna. Ini menjadikan, hari ini secara rasminya Luno menawarkan 51 kriptowang di Malaysia. 

Menerusi penambahan aset kriptowang yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ini, Luno melihat langkah proaktif itu mengukuhkan lagi kedudukan mereka dengan meluaskan akses pelaburan bersama pengguna negara.

Aset-aset baharu yang diiktiraf ini sebagai perincian meliputi 8 kategori kripto iaitu Layer-1, Layer-2, DeFi, AI x Kripto, Permainan, NFT, Aset Dunia Nyata (RWA) dan DePIN. Melalui pilihan ini, rakyat Malaysia mempunyai pilihan pelaburan lebih meluas namun masih kekal dalam persekitaran yang selamat dan dilindungi.

Bersama pengumuman rasmi hari ini, Luno menjelaskan kesemua 29 aset kripto baharu ini akan dilancarkan pada fungsi beli dan jual dalam 3 fasa iaitu pada setiap 2 minggu bermula hari ini di bawah fungsi Exchange. Secara menyeluruh antara 29 kriptowang yang ditawarkan adalah seperti Sonic, ENS, Apecoin, Jupiter, Ankr, Optimisim, TRON, dan Helium.