Bermula 31 Mac ini, pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan direalisasikan secara berperingkat di semua pintu masuk Malaysia.
Penerapan NIISe ini dijelaskan akan dilaksanakan secara rintis di lokasi terpilih melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada 31 Mac ini, sementara Kompleks ICQS Bukit Bunga pada 31 Mei dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour pada 30 Jun.
Buat pengetahuan umum, sebelum ini tempoh percubaan telahpun dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada September 2025 sehingga Februari 2026 lalu. Sepanjang tempoh itu, terdapat pelbagai inisiatif strategi telah ditambahbaik secara berkala antaranya pembangunan dan pelancaran aplikasi MyNIISe, kemudahan eGate di lapangan terbang utama, penggunaan kod QR di pintu sempadan serta pengaktifan sistem pemeriksaan awal ke atas penumpang.
Melalui penambahbaikan itu, ia tidak sekadar melancarkan perjalanan pengguna bersama manfaat akses digital tetapi turut meningkatkan kecekapan keselamatan dan perkhidmatan imigresen pada pasaran antarabangsa.