Artikel

MEF: Pilihan Bekerja Dari Rumah Perlu Diteliti Mengikut Industri, Pekerja ‘Bukan Kritikal’

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik langkah kerajaan membenarkan penjawat awam terpilih bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat bagi menangani isu kos bahan api di pasaran semasa.

Namun, MEF menegaskan bahawa perlu ada penelitian mendalam mengikut kesesuaian industri sebelum inisiatif tersebut diperluaskan ke sektor swasta. Pilihan BDR dilihat lebih wajar diberikan kepada pekerja yang memegang peranan tidak kritikal bagi mengimbangi produktiviti dan kesinambungan operasi perniagaan.

Selain meminimumkan perjalanan yang tidak perlu, majikan digesa menilai semula amalan operasi khususnya melibatkan logistik dan kaedah perniagaan. Dengan langkah ini, amalan BDR bukan lagi menjadi satu-satunya penyelesaian kepada langkah penjimatan kos bersama pekerja.

Bagi menyokong transisi ini, kerajaan disaran tampil dengan pelan hala tuju yang jelas dan sokongan bersasar buat PMKS. Usaha ini bukan sekadar meningkatkan pemahaman pemain ekonomi, malah membantu semua pihak meraih komunikasi yang lebih jelas untuk menyelaraskan sektor ekonomi yang cekap tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.