Artikel

CIMB Teraju Bangunkan Produk Pelaburan Islamik Baharu – Bersama SC, Bursa Malaysia

CIMB Group hari ini mengumumkan komitmennya untuk membangunkan instrumen pelaburan Islamik yang inovatif menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia.

Kerjasama yang akan dijalankan melalui projek perintis di bawah Makmal Inovasi ICM SC (FIKRALab) ini dijelaskan bertujuan untuk memperluaskan pilihan pelaburan patuh Syariah bersama pasaran tempatan. Inisiatif ini selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) yang merangka hala tuju strategik bagi memajukan lagi sektor kewangan Islam di peringkat serantau.

Dengan langkah sedemikian ia berupaya mengukuhkan kedudukan CIMB sebagai peneraju perbankan Islam di ASEAN, di mana lebih separuh daripada buku pembiayaan kumpulan di Malaysia kini sudah berstatus patuh Syariah. Selain pasaran tempatan, CIMB turut mengesahkan bahawa unit perniagaannya di Indonesia, CIMB Niaga sedang dalam proses melaksanakan pengasingan perniagaan perbankan Islamnya. Transformasi tersebut bakal menyaksikan entiti berkenaan beroperasi sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan kewangan Islam di Indonesia.

Melalui penyertaan dalam projek perintis ini, ia dilihat antara komitmen CIMB dalam meningkatkan advokasi berterusan kumpulan terhadap inovasi digital dan pasaran modal. Strategi ini juga merupakan sebahagian daripada pelan Forward30 CIMB yang meletakkan kewangan Islam sebagai enjin pertumbuhan utama yang mampan. Dengan skala perniagaan yang semakin berkembang, CIMB optimis mampu membuka nilai lebih besar kepada pelabur dengan menyediakan struktur patuh Syariah yang lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.