Tenaga kerja kesihatan di Malaysia, dilihat akan terus berdepan tekanan apabila dianggarkan berdepan kekurangan 13,000 doktor pakar menjelang tahun 2030.
Ini kerana mengikut perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada sidang Parlimen Februari lalu – sektor kesihatan awam negara memerlukan sekitar 22,435 doktor pakar menjelang 2030. Tatkala setakat akhir 2025 hanya 9,040 doktor pakar sedang berkhidmat.
Situasi ini bermakna, Malaysia berdepan kekurangan sebanyak 13,395 doktor pakar.
Dan melihat kepada tinjauan MBSB Research, yang mana sekitar 40% tawaran jawatan tetap pakar tidak diisi sementara kadar latihan semasa hanya melahirkan antara 1,00 hingga 1,400 pakar setahun. Maka Malaysia berpotensi menghasilkan sekitar 4,000 sehingga 5,600 pakar sahaja menjelang 2030.
Selain pakar, memasuki tahun 2026 data menunjukkan kemerosotan drastik dalam penyertaan Pegawai Perubatan Pelatih (HO). Daripada 5,000 kekosongan yang tersedia, hanya 529 graduan sahaja yang tampil melaporkan diri. Situasi ini meletakkan sistem sokongan perubatan negara dalam keadaan yang amat terdesak.
Secara menyeluruh, bagi mengimbangi isu tersebut Rnggt difahamkan KKM telah menyediakan peruntukan RM178 juta pada tahun 2026 untuk membiayai Program Latihan Kepakaran di KKM melibatkan program Sarjana Perubatan dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan Latihan Kepakaran Laluan Paralel. Peruntukan ini memaparkan peningkatan sebanyak 19% berbanding tahun sebelumnya.