Artikel

Pos Malaysia Jangka Bungkusan Raya Melonjak Sehingga 20% – Sepanjang Aidilfitri Ini

Pos Malaysia menjangkakan jumlah bungkusan sempena sambutan Aidilfitri kali ini akan terus melonjak sehingga 20% berbanding purata pada bulan biasa.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh kiriman barangan keperluan raya seperti pakaian dan tudung yang menjadi pilihan utama pengguna. Selain itu, trend ini turut dipacu oleh permintaan tinggi terhadap pembelian di platform e-dagang serta tabiat pengguna yang melakukan penghantaran pada saat-saat akhir sebelum tarikh tutup operasi kurier bermula.

Bagi mendepani cabaran jumlah bungkusan yang melebihi kapasiti tenaga kerja sedia ada, Pos Malaysia komited untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan melalui langkah strategik yang lebih pintar.

Antaranya termasuklah penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi membuat unjuran jumlah penghantaran serta perancangan permintaan yang lebih tepat. Langkah ini diperkukuhkan lagi dengan pemantauan berkala bagi menyesuaikan keperluan tenaga kerja dan jadual penghantaran sepanjang musim perayaan. Selain itu, pihak kumpulan turut menambah kapasiti penghantaran luaran bagi memastikan setiap pesanan dapat dipenuhi dengan lancar pada waktu puncak ini.