Artikel

Struktur Mata Ganjaran AEON Bank Berubah – Fokus Utama Kini Pada Ekosistem AEON

Jika anda perasan mata ganjaran AEON Points tidak lagi serancak  dahulu, usah khuatir anda tidak keseorangan – hal ini kerana perubahan pemberian mata ganjaran ini telah mula berlaku sejak akhir 2024 dan lebih ketara pada tahun 2026.

Berdasarkan tinjauan Rnggt, AEON Bank telah mengemaskini struktur perolehan AEON Points dengan kini menumpukan, mengoptimumkan perolehan manfaat tersebut kepada pengguna yang berbelanja di dalam ekosistem AEON sahaja. 

Perihal ini didapati pada dokumen AEON Royalty Programme setakat pertengahan 2025, yang menyatakan AEON Bank akan memberikan mata ganjaran untuk transaksi yang layak pada kadar perolehan yang ditentukan oleh pihak AEON Credit Service (ACSM) dari semasa ke semasa. Ini bermakna pihak bank mempunyai kuasa penuh untuk mengubah atau mengecilkan kadar ganjaran bagi perbelanjaan di luar ekosistem mereka tanpa perlu mengekalkannya secara tetap.

Dokumen juga menyebut bahawa syarat khusus untuk promosi khas akan disediakan secara berasingan melalui laman web atau aplikasi AEON Bank. Ini menyokong fakta bahawa ganjaran di luar AEON selalunya terikat dengan kempen tertentu (seperti Misi Neko) dan bukan lagi diberikan secara automatik untuk semua jenis perbelanjaan bersama pengguna.

Perubahan ini bermakna penggunaan kad Debit-i AEON Bank di luar rangkaian AEON—seperti di stesen minyak, restoran luar, atau gedung beli-belah lain—mungkin tidak lagi memberikan mata ganjaran secara automatik bagi setiap ringgit. Sebaliknya, ganjaran maksimum seperti 2x hingga 4x mata ganjaran kini dikhaskan untuk transaksi di cawangan AEON Stores, AEON BiG, AEON Wellness, AEON Style, MaxValu, dan Daiso by AEON, terutamanya pada hari-hari promosi tertentu.

Peralihan itu sekali gus menggantikan sistem mata ganjaran untuk semua yang diamalkan sebelum ini kepada sistem ganjaran berasaskan penyertaan aktif. Maka untuk pengguna yang ingin meraih mata ganjaran berganda boleh sentiasa menyemak segmen ganjaran dan misi di aplikasi AEON Bank pada setiap bulan untuk maksimumkan pulangan anda dengan mendapatkan pulangan tunai atau baucar.