Ternyata hanya 20% kenderaan berat direkodkan mematuhi peraturan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) pada kenderaan mereka untuk pasaran negara setakat ini, sejak ia diwajibkan pada Oktober 2025.
Makluman ini dikongsikan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sesi pengenalan garis panduan baharu melibatkan kenderaan de-controlled dan pick-up persendirian.
Dengan peratusan yang masih ditahap rendah itu, MOT sedang menambahbaik senarai penyertaan bengkel di Malaysia berhubung ketersediaan penambahan SLD bersama kenderaan berat berkaitan.
Seperti yang umum ketahui mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi sistem SLD ini ditegaskan tidak dibenarkan berada di jalan raya. Keperluan ini penting bagi mengawal isu kelajuan melibatkan kenderaan berat dan sekaligus dapat mengurangkan risiko kemalangan maut khususnya kenderaan seperti bas dan lori.
Sebagai penjelasan:
- Fasa 1 melibatkan pengesahan fungsi SLD pada semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015
- Fasa 2 pula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026 melibatkan pemasangan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina sebelum 1 Januari 2015
- Fasa 3 pula akan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2026, perlihatkan pemasangan SLD secara retrofit dengan pengesahan JPJ ke atas mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi sistem SLD