Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pastinya ramai pihak akan mula mengatur perjalanan percutian panjang mereka bersama keluarga. Dengan anggaran lebih 2,700 penerbangan domestik dijadualkan dan 2.3 juta kenderaan bakal memenuhi ruang lebuh raya – pergerakan rakyat Malaysia kelak pastinya akan berdepan pelbagai situasi sukar.
Memahami keutamaan masyarakat yang kini lebih mementingkan nilai dan bajet, Zurich Malaysia tampil berkongsi panduan komprehensif agar sambutan tahun ini bukan sahaja meriah, malah lebih tenang dan teratur dari segi keselamatan serta kewangan.
Perjalanan Lancar Bermula Dengan Pemeriksaan Kenderaan Rapi
Keselamatan jalan raya bermula dengan kenderaan yang diselenggara dengan baik. Jadi sebelum memulakan perjalanan jauh ke kampung halaman, pastikan pemeriksaan asas dilakukan merangkumi keadaan tayar, sistem brek, lampu, dan paras minyak enjin. Rancang perjalanan anda dengan teliti bagi mengelakkan kesesakan luar biasa, dan jangan sesekali memaksa diri jika berasa letih. Berhenti seketika untuk berehat (R&R) bagi memastikan anda kekal fokus demi keselamatan diri dan keluarga tersayang di dalam kenderaan.
Dapatkan Perlindungan Kediaman Sebelum Pulang Ke Kampung
Rumah yang ditinggalkan haruslah berada dalam keadaan yang paling selamat. Pastikan semua suis peralatan elektrik dipadamkan dan kepala tong gas dicabut bagi mengelakkan risiko litar pintas atau kebakaran. Selain itu, elakkan penggunaan soket sambungan secara berlebihan untuk lampu hiasan. Sebelum mengunci pintu, periksa semula semua jendela dan pagar bagi memastikan ia berkunci dengan rapi. Langkah kecil ini amat penting agar anda dapat beraya dengan fikiran yang tenang tanpa perlu risau tentang keselamatan harta benda di bandar.
Nikmati Juadah Raya Secara Berpada-Pada
Juadah Raya sememangnya menyelerakan, namun kesederhanaan adalah kunci utama kesihatan. Elakkan pengambilan makanan secara berlebihan untuk mengelakkan ketidakselesaan perut, terutamanya selepas sebulan berpuasa. Pastikan anda minum air kosong yang mencukupi ketika mengunjungi rumah terbuka bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi. Bagi mereka yang mempunyai warga emas atau kanak-kanak, pastikan bekalan ubat-ubatan asas sentiasa dibawa bersama sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan kesihatan yang tidak dijangka.
Lebaran Lebih Bermakna Jika Berbelanja Secara Bijak
Dalam keghairahan menyambut lebaran, pengurusan bajet yang realistik sangat membantu mengelakkan tekanan kewangan selepas perayaan. Utamakan komitmen penting dan pantau aliran tunai anda supaya tidak berbelanja melebihi kemampuan. Zurich Malaysia turut menyarankan agar rakyat Malaysia memperuntukkan tabung kecemasan bagi menampung perbelanjaan luar jangka. Ini juga merupakan waktu yang terbaik untuk menyemak semula pelan perlindungan sedia ada bagi memastikan anda dan keluarga dilindungi mengikut keperluan fasa kehidupan semasa.
Zurich Sedia Sokongan Dan Bantuan Kecemasan 24 Jam Sepanjang Raya
Usah risau Zurich Malaysia kekal komited untuk berada di sisi pelanggan sepanjang musim perayaan ini. Jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini di jalan raya, bantuan tepi jalan tersedia 24 jam sehari melalui talian 1-300-88-5566. Dan untuk sebarang pertanyaan berkaitan tuntutan motor atau pelan perlindungan, pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Zurich atau melayari portal pelanggan MyZurichLife. Dengan adanya sistem sokongan yang pantas, setiap masalah dapat ditangani dengan lebih yakin dan profesional tanpa terbeban meskipun ia berlaku ketika musim perayaan.
