AirAsia X (AAX), segmen penerbangan jarak jauh tambang rendah Malaysia kini memaklumkan pihaknya telah melaksanakan pelarasan tambang dan surcaj bahan api di seluruh rangkaian penerbangannya berkuat kuasa serta-merta. Tindakan ini susulan kenaikan mendadak harga bahan api di pasaran global.
Namun jelas notis AAX bersama Rnggt hari ini, pelaksanaan itu hanyalah langkah sementara berikutan kumpulan akan terus memantau persekitaran pasaran secara dinamik dan akan bertindak proaktif dalam menyemak semula kadar tersebut sekiranya keadaan kembali stabil.
Setakat ini, AAX akan terus memberi tumpuan kepada tahap kebolehpercayaan operasi dengan menjamin penjadualan penerbangan tidak berdepan gangguan serta memastikan laluan sedia ada dapat dikekalkan tanpa terjejas.
Biarpun mengambil tindakan pelarasan tambang untuk jangka pendek, AAX kekal optimis memastikan harga tiket di paras mampu milik kepada para penumpang. Perihal ini akan terus disemak secara berkala demi kepentingan pengguna.