Bagi memastikan kestabilan ekonomi rakyat terus terpelihara, kerajaan telah menetapkan beberapa parameter utama melibatkan subsidi tenaga dan pengurusan bekalan antaranya terus mengekalkan paras harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter.
Tindakan ini menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi taklimat khas petang ini didasari akan bekalan minyak di Malaysia yang masih terkawal dan mencukupi sehingga Mei ini. Namun keputusan itu adalah suatu langkah yang sukar berikutan kos bahan api semasa telah meningkat tinggi.
Selain pengekalan harga BUDI95, kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah agresif penjimatan dengan mengehadkan lawatan ke luar negara ke atas Menteri dan seluruh anggota pentadbiran Malaysia. Tidak hanya itu, semua agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dimaklumkan untuk tidak menganjurkan sebarang majlis rumah terbuka Aidilfitri. Perihal ini bagi mengimbangi aliran perbelanjaan yang tidak kritikal.
Dan memahami kesan konflik semasa, kerajaan akan kekal berwaspada berdasarkan perkembangan konflik di peringkat global. Bersama komitmen itu, mesyuarat khas bersama Menteri akan dilaksanakan pada Jumaat ini iaitu 13 Mac 2026 bagi meneliti kedudukan fiskal negara dan hala tuju negara seterusnya.