Artikel

TikTok Perkasa Ekonomi Digital Sekitar RM20 Bilion, Sokong 147,000 Pekerjaan – Di Malaysia

Ekonomi digital Malaysia kini mencapai tanda aras baharu apabila platform media sosial TikTok menganggarkan sumbangan tahun 2025 mencapai sekitar RM20 bilion kepada Nilai Tambah Kasar (GVA) negara. Pencapaian ini didedahkan melalui Laporan Impak Sosioekonomi TikTok Malaysia 2025 yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir semalam.

Penglibatan digital ini dilihat tidak sekadar tertakluk pada populariti mahupun jumlah pengikut, tetapi turut menyokong lebih 147,000 peluang pekerjaan di seluruh negara. Menteri Ekonomi menegaskan bahawa kejayaan dalam era digital kini harus diukur melalui nilai ekonomi nyata yang mampu meningkatkan produktiviti serta menjana pendapatan isi rumah yang lebih tinggi bagi rakyat Malaysia.

Data juga menunjukkan impak yang sangat besar telah direkodkan ke atas kumpulan usahawan, di mana 97% perniagaan menganggap TikTok sebagai sumber pendapatan yang penting. Malah, 50% daripada responden melaporkan platform ini menyumbang lebih 40% daripada keseluruhan jualan mereka. Selain itu, 40% usahawan memilih untuk memulakan langkah pertama perniagaan mereka terus di platform ini, manakala 72% mengakui kelebihan utama yang diperoleh adalah keupayaan untuk menembusi pasaran dan pelanggan baharu dengan lebih meluas.

Perkembangan ini turut memberi impak positif kepada PMKS di kawasan luar bandar dan separa bandar. Setakat ini, lebih 100,000 PMKS telah berjaya memanfaatkan medium digital untuk pemasaran dan pengurusan operasi yang lebih mampan. Menariknya, sebanyak 68% responden mengakui membeli produk secara luar talian selepas menemuinya di TikTok, sekali gus membuktikan bahawa penemuan digital mampu memperkukuh ekonomi fizikal melalui peningkatan kunjungan ke kedai runcit dan pertumbuhan jenama tempatan.