Artikel

Vietnam Saran Rakyat Bekerja Dari Rumah – Jimat Penggunaan Bahan Api

Konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kini melanda pasaran global mula memberikan kesan rantaian yang ketara terhadap rantaian bekalan dagangan dunia. Situasi ini dilihat telah melonjakkan kos bahan api semasa ke tahap yang membimbangkan.

Kesan persekitaran itu, Vietnam kini menggesa para pemilik perniagaan tempatan untuk menggalakkan pekerja mereka bertugas dari rumah sebagai langkah strategik bagi mengurangkan penggunaan serta menjimatkan bekalan bahan api negara.

Saranan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Vietnam ini menurut laporan Reuters, dimaklumkan setelah Vietnam dikenalpasti antara negara yang paling terjejas teruk akibat ketegangan yang tercetus antara AS dan Iran. Krisis ini telah memberikan tekanan hebat kepada pemain utama industri bahan api Vietnam, khususnya Petrolimex yang mencatatkan lonjakan harga mendadak iaitu sebanyak 32% bagi petrol, 56% bagi diesel, dan mencecah 80% bagi minyak tanah.

Bagi menangani situasi yang semakin meruncing, kerajaan Vietnam telah memutuskan untuk memansuhkan tarif import bahan api sehingga akhir April ini. Langkah drastik tersebut diambil bagi mengimbangi keperluan bekalan serta memastikan permintaan domestik dapat dipenuhi tanpa membebankan ekonomi rakyat secara berterusan.