Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini secara rasminya melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP4) 2026-2030. Pelan yang dirangka oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) ini berfungsi sebagai hala tuju strategik untuk memperkukuh kedudukan kewangan Malaysia bagi tempoh 5 tahun mendatang, sekali gus menjadikan pasaran modal sebagai nadi utama pertumbuhan ekonomi negara.

Buat pengetahuan umum, pelan keempat ini adalah kesinambungan daripada siri pelan terdahulu yang berjaya membawa Malaysia keluar daripada pelbagai krisis. Jika CMP1 hingga CMP3 fokus kepada pemulihan pasca krisis Asia, krisis global, dan pandemik COVID-19, CMP4 pula beralih arah untuk membina kekuatan baharu bagi menghadapi cabaran pasaran masa hadapan yang lebih mencabar dan kompetitif.
Pencapaian pasaran modal negara setakat September 2025 amat membrangsangkan susulan mencecah nilai RM4.2 trilion. Apa yang lebih menarik, instrumen kewangan Islam kekal mendominasi dengan sumbangan sebanyak 62%. Pertumbuhan kukuh ini dipacu oleh prestasi cemerlang dalam sektor permodalan saham, bon, serta sukuk belum tebus yang menjadi tulang belakang kestabilan kewangan kita.
Secara keseluruhannya, pelancaran CMP4 ini adalah isyarat jelas bahawa Malaysia bersedia untuk melonjak lebih tinggi dengan sasaran besar untuk mencecah saiz pasaran RM20 trilion menjelang tahun 2045. Dengan fokus kepada pengukuhan instrumen pelaburan dan kestabilan ekonomi, pelan ini dijangka mampu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas untuk seluruh rakyat Malaysia.