Artikel

Prof Diraja Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas Meninggal Dunia Di Usia 94 Tahun

Dunia intelektual Islam kehilangan seorang tokoh pemikir besar apabila Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.47 petang hari ini. Berita pemergian tokoh tersohor itu dikongsikan oleh ahli keluarga dan kenalan terdekat. Pemergian beliau pada usia 94 tahun ini telah meninggalkan legasi besar dalam bidang falsafah, pendidikan, dan peradaban Melayu-Islam.

Dilahirkan di Bogor, Indonesia, beliau mempunyai latar belakang keilmuan yang sangat kukuh. Beliau memulakan kerjaya awal dalam bidang ketenteraan sebagai pegawai lepasan Royal Military Academy Sandhurst, sebelum memilih untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam dunia akademik. Beliau melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Malaya, Universiti McGill di Kanada, dan seterusnya memperoleh ijazah kedoktoran dari SOAS, Universiti London. Pada tahun 2024, beliau telah dianugerahkan gelaran Profesor Diraja, iaitu penghormatan akademik tertinggi di Malaysia.

Antara sumbangan utama beliau yang akan sentiasa dikenang adalah gagasan Islamization of Knowledge. Beliau juga merupakan pengasas serta Pengarah Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) yang telah menjadi pusat kecemerlangan ilmu di peringkat global. Melalui karya-karyanya, beliau sering menekankan bahawa krisis utama umat Islam berpunca daripada kekeliruan ilmu dan kepincangan adab dalam menghadapi pemikiran moden.

Sepanjang hayatnya, beliau juga turut telah menghasilkan pelbagai buku dan makalah ilmiah yang menjadi rujukan penting di universiti seluruh dunia. Penulisan beliau mengenai sejarah pengislaman kepulauan Melayu turut memberikan perspektif baharu yang mendalam terhadap identiti dan tamadun serantau.