Artikel

LHDN Mula Kreditkan Bayaran Balik Cukai – Seawal Minggu Kedua Mac Ini

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) kini memaklumkan bayaran balik cukai kepada pembayar cukai yang layak dan telah selesai diproses – akan mula dikreditkan secara berperingkat mulai minggu kedua bulan Mac 2026.

Bayaran balik ini melibatkan pembayar cukai individu yang telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025, selaras dengan pembukaan perkhidmatan e-Filing mulai 1 Mac 2026 seperti yang telah dimaklumkan oleh HASiL sebelum ini.

Tindakan ini adalah selaras dengan Piagam Pelanggan HASiL, bayaran balik cukai bagi BNCP yang dihantar melalui e-Filing akan diproses dalam tempoh sehingga 30 hari bekerja, manakala bagi BNCP yang dihantar secara manual pula tempoh pemprosesan adalah sehingga 90 hari bekerja.

Namun, sekiranya maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai adalah lengkap dan tepat serta tidak memerlukan semakan lanjut, bayaran balik cukai akan diproses lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, pembayar cukai dinasihatkan untuk memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada HASiL adalah tepat dan terkini bagi memastikan bayaran balik dapat diproses dengan lancar.