Kira-kira 60% daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka berupaya mencapai tahap simpanan asas sebanyak RM390,000 menjelang usia 60 tahun pada tahun 2030.
Jelas Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Dewan Negara hari ini, sasaran itu didasari akan usaha pentadbiran untuk membantu pencarum meraih paras simpanan persaraan yang memadai – antaranya menerusi pengenalan tanda aras Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA). Inisiatif ini berfungsi sebagai panduan untuk membantu ahli menilai kedudukan kewangan mereka sebelum membuat sebarang keputusan pengeluaran, sekali gus menggalakkan perancangan jangka panjang yang lebih bijak.
Apa Itu RIA KWSP?
Tahap 1 – Simpanan Asas akan melibatkan 60% daripada jumlah Simpanan Mencukupi iaitu RM390,000. Simpanan ini membolehkan pengeluaran bulanan bagi tahun pertama sekitar RM1,625 dan tahun ke-20 sekitar RM4,434.
Tahap 2 – Simpanan Mencukupi pula akan ditetapkan pada 240 kali ganda Pendapatan Persaraan Mencukupi dan akan dibundarkan kepada RM10,000 terdekat dengan jumlah RM650,000. Simpanan ini membolehkan pesara keluarkan RM2,708 secara bulanan pada tahun pertama dan RM7,389 pada tahun 20.
Tahap 3 – Simpanan Dipertingkat menetapkan 200% daripada jumlah Simpanan Mencukupi, ini bersamaan RM1.3 juta. Simpanan ini pula membolehkan pesara keluarkan RM5,417 secara bulanan bagi tahun pertama dan RM14,779 menjelang tahun ke 20.
Selain itu, pelbagai strategi pengukuhan simpanan terus giat dilaksanakan, termasuklah penyusunan semula akaun melalui pengenalan Akaun Fleksibel. KWSP turut memperkasakan promosi caruman sukarela melalui program seperti i-Simpan, i-Saraan, dan i-Topup bagi memupuk budaya menyimpan.
Setakat akhir 2025, didapati seramai 3.1 juta atau 41.2% ahli aktif dalam sektor formal berusia antara 18 hingga 55 tahun telah pun mencapai tahap simpanan asas mengikut umur. Namun, beliau menekankan bahawa masih terdapat 4.42 juta ahli atau 58.8% yang belum mencapai sasaran minimum tersebut bagi menjamin persaraan yang selesa.