Artikel

Mahkamah Arah Kastam AS Mulakan Proses Bayar Balik Tarif Import Yang Tidak Sah

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa kini telah mengarahkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan proses bayaran balik melibatkan bilion dolar kepada pengimport dunia. Arahan ini susulan keputusan Mahkamah Agung yang memutuskan bahawa tarif yang dikenakan pentadbiran Donald Trump sebelum ini adalah tidak sah.

Bayaran balik tersebut mengikut laporan, ditegaskan perlu dilaksanakan bersama kadar faedah yang berkaitan kepada syarikat import terlibat.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS sebelum ini menyatakan bahawa proses pemulangan wang ini adalah satu tugasan yang amat mencabar kerana melibatkan penelitian manual ke atas lebih 70 juta dokumen kemasukan barangan import. Namun, mahkamah menolak alasan tersebut dengan menyatakan bahawa pihak kastam sudah mempunyai sistem sedia ada untuk menguruskan bayaran balik duti yang dilakukan setiap hari, dan mereka seharusnya mampu menyelaraskan semula sistem tersebut untuk skala yang lebih besar.

Dianggarkan lebih daripada 300,000 pengimport, yang kebanyakannya terdiri daripada perniagaan kecil, terkesan oleh kutipan tarif global yang mencecah AS$130 bilion ini. Sebanyak 2,000 tuntutan mahkamah telah difailkan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA). Pihak mahkamah kini difahamkan sedang berusaha mencari kaedah tuntutan yang lebih mudah dan efisien supaya para pengimport tidak perlu memfailkan kes secara individu atau melalui proses pentadbiran yang terlalu rumit untuk mendapatkan semula hak mereka.