Syarikat gergasi Thailand, CP Axtra Public Company Ltd, melalui anak syarikatnya Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd, kini dilaporkan bakal mengambil alih 100% pegangan The Food Purveyor (TFP) pada nilai RM1.7 bilion. Pengambilalihan ini melibatkan pembelian daripada pemilik majoriti iaitu firma ekuiti swasta, Navis Capital yang merangkumi rangkaian pasar raya premium popular seperti Village Grocer, Ben’s Independent Grocer (B.I.G.), BSC Fine Foods, Pasaraya OTK, dan The Food Merchant di Malaysia.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Saham Thailand, urus niaga ini dijangka akan selesai sepenuhnya menjelang suku keempat tahun 2026.
Langkah strategik CP Axtra yang merupakan unit peruncitan di bawah konglomerat Charoen Pokphand Group (CP Group) ini bertujuan untuk memperluas pengaruh mereka di pasaran Asia Tenggara. Keputusan ini diambil ketika sentimen pengguna di pasaran domestik Thailand dilihat semakin perlahan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
CP Group sebelum ini telahpun mempunyai asas perniagaan runcit di Malaysia melalui pengambilalihan rangkaian pasar raya Lotus’s dahulunya dikenali sebagai Tesco pada tahun 2020.
Setakat ini, proses pemindahan hak milik masih berlangsung dan perlu didasari akan peraturan berlandaskan perjanjian jual beli saham bersama pihak berkuasa. Secara menyeluruh, biarpun terdapat pertukaran hak milik di peringkat korporat, operasi harian rangkaian pasar raya di bawah TFP dijangka akan diteruskan seperti biasa buat masa ini.