Artikel

Pos Malaysia, Kota Buku Edar 2 Juta Buku Tulis Kitar Semula – Buat Pelajar B40

Pos Malaysia Berhad terus mengukuhkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan – terbaharu menerusi kerjasama strategik bersama Perbadanan Kota Buku, kedua pihak telah melaksanakan pengedaran 2 juta buku tulis kitar semula khusus untuk manfaat pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh Malaysia.

Melalui kolaborasi ini, sebanyak 2 juta buku tulis tersebut telah diagihkan ke 4,120 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara. Usaha ini secara langsung memberi impak positif kepada lebih 200,000 pelajar, sekali gus memastikan akses kepada bahan pendidikan yang lebih inklusif.

Selain menyokong sistem pembelajaran, inisiatif ini turut membantu meringankan beban kewangan keluarga terlibat dengan anggaran nilai penjimatan mencecah RM2.4 juta. Dari sudut kelestarian, penggunaan bahan kitar semula bagi penghasilan buku-buku ini berjaya menyelamatkan kira-kira 2,832 batang pokok, selaras dengan usaha memelihara ekosistem alam sekitar.

Langkah ini membuktikan bahawa sinergi antara agensi logistik nasional dan badan penerbitan mampu memacu perubahan bermakna, bukan sahaja dalam sektor pendidikan tetapi juga dalam pemuliharaan hijau negara.