CIMB Group Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi tahun 2025 apabila rekod prestasi kewangan berakhir 31 Disember 2025 memperlihatkan keuntungan bersih berjaya mencapai RM7.9 bilion.

Prestasi ini merupakan peningkatan 1.7% berbanding tahun sebelumnya, meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan pemotongan kadar faedah yang berterusan. Kejayaan ini didorong oleh pelaksanaan disiplin strategi Forward30 (F30) yang memfokuskan kepada pertumbuhan mampan dan nilai pemegang saham jangka panjang.
Selaras dengan prestasi kukuh tersebut, CIMB mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 20.35 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan terkumpul sebanyak 47.1 sen sesaham. Ini melibatkan pembayaran dividen rekod tertinggi berjumlah RM5.1 bilion kepada pemegang saham. Langkah ini mencerminkan keyakinan tinggi kumpulan terhadap momentum perniagaan serta komitment mereka dalam menguruskan modal secara berkesan bagi memberi pulangan terbaik.
Dari sudut operasi, CIMB berjaya mengoptimumkan sumber dengan mengalihkan lebih banyak modal ke pasaran Malaysia yang menyumbang 61% kepada keuntungan sebelum cukai. Strategi deposit dan akaun simpanan (CASA) juga menunjukkan hasil positif dengan pertumbuhan baki kepada RM224.1 bilion, sekali gus membantu mengurangkan kos dana. Selain itu, pendapatan bukan faedah melonjak hasil daripada strategi jualan silang (cross-sell) yang berkesan serta pengurusan aset kekayaan yang semakin berkembang.
Bagi memacu masa depan, CIMB terus melabur sebanyak RM1.7 bilion dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan seperti aplikasi CIMB OCTO. Kumpulan juga memperkukuh agenda kelestarian dengan sasaran pembiayaan mampan sebanyak RM300 bilion menjelang 2030. Secara keseluruhan, kualiti aset bank kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas pada tahap terbaik 1.7%, membuktikan daya tahan CIMB dalam mendepani landskap kewangan yang mencabar.

