Artikel

MR DIY Untung RM632.69 Juta – Sasar Buka 155 Cawangan Baharu Pada 2026

MR DIY Group, pengendali rangkaian kelengkapan kediaman di Malaysia kekal mempamerkan prestasi yang positif pada tahun 2025 apabila meraih lonjakan 11.21% pada keuntungan bersih dengan rekod RM632.69 juta. Pencapaian ini dilihat terus meningkat berbanding 2024 dengan perolehan untung bersih RM568.93 juta.

Mengikut makluman kepada Bursa Malaysia, hasil kumpulan turut meningkat secara berkala kepada RM4.95 bilion pada 2025. Perkembangan ini didorong hasil perluasan rangkaian kumpulan yang meningkat 8.4% kepada 1,556 cawangan. Perluasan itu kini menyumbang 197.8 juta jumlah transaksi biarpun nilai purata setiap bakul pembelian direkodkan menyusut 1.6% secara tahunan.

Bersama prestasi yang kukuh, untuk 2026 MR DIY menyasarkan membuka sekitar 155 cawangan baharu di beberapa lokasi seluruh Malaysia. Perluasan cawangan kali ini dijelaskan akan tertumpu kepada lokasi strategik dengan pemilihan yang ketat, berteraskan ekonomi mampan. Dengan pengembangan berdispilin itu, MR DIY optimis tindakan ini berupaya mengukuhkan asas pulangan kumpulan bersama pertumbuhan yang lebih stabil di masa hadapan.