Artikel

Kerajaan Optimis Struktur Cukai OMV Bagi CKD – Tidak Bebankan B40, M40

Kerajaan kini memberi jaminan bahawa pelaksanaan penuh struktur cukai nilai pasaran terbuka (OMV) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan membebankan golongan B40 dan M40 di pasaran Malaysia.

Jelas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada notis Parlimen hari ini pelaksanaan di bawah Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barang-Barang Dikilang Secara Tempatan Bagi Maksud Levi Duti Eksais) 2019 itu terpakai kepada semua barangan dikilangkan tempatan dan tidak hanya terhad kepada kenderaan sahaja.

Maka pelarasan baharu dijamin tidak akan memberi kesan kepada kenaikan harga kenderaan susulan didasari akan insentif cukai yang telah diluluskan.

Seperti yang umum ketahui, kerajaan telahpun memberikan pengecualian selama 5 tahun sehingga 30 Jun 2026 iaitu membolehkan nilai eksais kenderaan yang dikilangkan secara tempatan dikira berlandaskan kos pengilangan. Menerusi tempoh pengecualian itu, ia adalah fasa peralihan yang membolehkan syarikat pengeluar menyesuaikan model perniagaan dan struktur kos mereka mengikut ketetapan masa.