Artikel

Laporan Ketua Audit Negara Kesan 273 Isu Baharu – Antaranya Pematuhan Dana MyDigital ID

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan terdapat 273 isu baharu dikesan merangkumi pengurusan kewangan dan tadbir urus peringkat persekutuan, negeri. Antara isu yang berbangkit adalah isu ketidakpatuhan dalam Projek Pembangunan MyDigital ID (MyDID) yang dikendalikan oleh MIMOS Berhad.

Hasil pengauditan tersebut mendapati penggunaan peruntukan projek sebanyak RM14.09 juta adalah tidak selaras dengan garis panduan kerajaan. Semakan menunjukkan 99.4% daripada dana tersebut digunakan untuk perbelanjaan operasi, sedangkan garis panduan RMKe-12 menetapkan kos emolumen dan kelengkapan pejabat mesti dibiayai melalui peruntukan mengurus, bukannya peruntukan pembangunan.

Namun, MIMOS menjelaskan bahawa dana pembangunan tersebut merupakan satu-satunya sumber kewangan yang ada susulan operasi terlibat tidak menerima sebarang peruntukan mengurus bagi melaksanakan projek tersebut. Hasil penelitian menyeluruh, MOSTI mengambil maklum akan pelanggaran penggunaan dana tersebut dan menyatakan komitmen untuk memastikan isu pelanggaran garis panduan kewangan ini tidak berulang di masa hadapan.