Samyang Foods kini sedang memperkukuhkan perlindungan jenama mereka dengan merancang untuk memfailkan permohonan hak tanda dagangan bagi nama Inggeris “Buldak” di pasaran Korea Selatan.
Tuntutan ini mengikut laporan Korea Herald, adalah satu tindakan proaktif kumpulan untuk melindungi identiti produk mereka yang ketika ini semakin meluas di pasaran global selain bertujuan menangani isu produk tiruan. Ketika ini difahamkan terdapat lambakan produk tiruan yang dilihat semakin pesat di pasaran antarabangsa melibatkan China, Asia Tenggara, Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah.
Situasi itu tidak hanya mengelirukan pengguna bahkan turut berisiko menjejaskan reputasi kualiti jenama asal.
Samyang Foods turut mendedahkan bahawa walaupun jenama Buldak telah berjaya didaftarkan di 88 buah negara, mereka kini berdepan dengan pertikaian perundangan di 27 buah negara daripadanya. Maka syarikat menegaskan perlunya dasar perlindungan yang lebih agresif bagi memastikan nilai eksklusif jenama tersebut terus terpelihara di peringkat antarabangsa.