Syarikat pelaburan awam, Harvest Miracle Capital kini dimaklumkan memuktamadkan pelaburan strategik bernilai RM4.4 juta bagi perolehan 40% pegangan saham dalam jenama Kaw Kaw Malaya.
Langkah ini mengikut makluman Bursa Malaysia – menandakan fasa baharu bagi jenama tempatan tersebut dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama pada industri makanan dan minuman di pasaran Malaysia.
Dengan pelaburan besar ini, ia dijangka dapat memacu pelan perkembangan Kaw Kaw Malaya untuk membuka lebih banyak cawangan restoran di lokasi premium serta pusat membeli-belah. Malah dengan kapasiti kewangan yang lebih baik, situasi ini turut membantu operasi meningkatkan kualiti dan perluaskan rangkaian pemasaran di pasaran yang lebih tinggi.
Melalui perluasan itu, ia dilihat selaras dengan sinergi antara Kaw Kaw Malaya bersama jenama di bawah pengurusan G&T Brand syarikat induknya, termasuklah Bungkus Kaw Kaw dalam memasarkan hidangan tradisional Malaysia ke tahap yang lebih berdaya saing.