Mengikut jejak langkah syarikat induknya yang kini dalam pertimbangan lanjut untuk menjual baki perniagaan aiskrim di pasaran antarabangsa, Nestlé Malaysia mengesahkan telah memulakan proses meneroka potensi penjualan cabang aiskrimnya kepada Froneri.
Melalui notis kepada Bursa Malaysia, proses tersebut akan melibatkan beberapa peringkat termasuk libat urus bersama pihak berkepentingan, penelitian pematuhan operasi, keperluan perundangan, serta isu pengawalseliaan.
Untuk rekod, Froneri merupakan syarikat gergasi global yang ditubuhkan pada 2016 hasil usahasama antara Nestlé dan PAI Partners, sebuah firma ekuiti swasta Perancis yang tertumpu kepada sektor makanan. Setakat ini, hampir keseluruhan perniagaan aiskrim Nestlé di Eropah dan beberapa rantau utama dunia telahpun berada di bawah pengendalian Froneri.
Antara jenama global yang dikendalikan oleh Froneri termasuklah Häagen-Dazs (di pasaran tertentu), Drumstick, Mövenpick, Oreo Ice Cream, KitKat Ice Cream, dan Tip Top.
Maka dengan langkah strategik ini bukan sekadar penjualan aset tempatan, malah merupakan satu bentuk penyatuan perniagaan di bawah payung usaha sama antarabangsa. Lebih menarik, penyatuan ini dijangka mampu melonjakkan lagi profil dan pemasaran jenama aiskrim tempatan ke pasaran global melalui rangkaian luas yang dimiliki Froneri.